leopard iklan

Friday 28 June 2013

Maria, Sahabat Terindah


Sesetengah doktor percaya lebih 50% daripada penyakit disebabkan oleh ketegangan dan tekanan. Kebimbangan dan ketegangan yang kerap muncul pada waktu tertentu melemahkan sistem saraf manusia.’
Petikan dari buku ‘KESIHATAN SEMPURNA’ karya Dr. Christian Barnard, C.Northcote Parkinson, M.K Rustomji.
Pap! Buku tersebut dihempas ke lantai. Rhea Amanda Abd Rahim, sekadar memerhati sekilas. Pernyataan didalam buku tersebut merobek hatinya.  Dia menggapai sebiji bantal dan diletakkan di bawah kepalanya. Pandangannya hanya tertumpu pada kawasan syiling kamarnya. Mindanya ligat berfikir, mencari-cari kebenaran dari sepotong ayat yang dibacanya dari dalam buku tersebut. Buku yang diberikan oleh seseorang, yang dia sendiri tidak tahu siapakah pengirimnya.

‘Tertekankah aku saat itu?’ bisik hati kecilnya. Mungkin ya, mungkin tidak. Tapi bukankah penyakit ini berpunca dari keturunan? Rhea mendengus kasar. Huh!
                                      

‘PADAN muka! Siapa suruh tak bagi aku pergi kursus tu? Aku nak pergi dengan niat baik, nak belajar! Bukannya nak main-main! Daripada aku duduk kat rumah jadi mayat hidup, baik aku sambung belajar. Lagi berfaedah!’ marah Rhea. Air mata yang diseka, tumpah jua. Jemarinya ligat mengoyak surat-surat tawaran mengikuti satu kursus di bawah anjuran Kementerian Sumber Manusia yang diterimanya.
Hatinya sakit! Teramat sakit! Niatnya untuk mengikuti tawaran kursus tersebut hancur lebur tatkala bapanya, Encik Rahim tidak membenarkannya untuk turut serta mengikuti tawaran kursus tersebut. Alasan yang diberi, dia berpenyakit!
Rhea mengatur langkah ke biliknya. Lemah terasa disetiap sendi tulangnya. Kepalanya dipicit berulang kali. Desah nafas dadanya turun naik. Degupan jantungnya dirasakan semakin kencang. Jemarinya menggeletar. Dia tahu dia amat tertekan. Tiada apa yang mampu dia lakukan. Hidupnya kini tiada apa yang bermakna. Semenjak dia disahkan menghidap sejenis penyakit yang diberi nama Hypertyroidism, seri hidupnya seakan berubah perlahan-lahan. Kelincahannya juga hilang dibawa pergi oleh angin. Keriangannya juga lesap secara diam-diam. Rhea akur.
Dugaan maha hebat diberi Tuhan untuknya. Menjadikan dirinya mati sebelum masanya. Disaat dia sekadar mampu berbaring lesu, dia diberhentikan kerja oleh majikannya.  Alasannya dia tidak lagi komited terhadap kerja. Kasih dan cintanya pada lelaki bernama Amer Hakimi terpaksa dilupakan saat lelaki itu hadir untuk memutuskan perhubungan yang terbina hampir 5 tahun. Hanya kerana dia berpenyakit!
Dia tahu, penyakit tiroid menjejaskan hampir lebih 200 juta warga dunia .Namun, doktor mengesahkan dia mengalami satu perubahan peningkatan hormon tiroid yang sangat tinggi. Bezanya hampir 7 kali ganda dari kadar hormon bagi orang normal, yang menyebabkan dia mengalami kesan dalam masa yang singkat.
          Pembengkakan pada kawasan lehernya juga amat ketara masuk bulan yang ketiga. Empat bulan selepas dia menghidap penyakit itu, keadaannya semakin membimbangkan. Kakinya mengalami pembengkakan yang teruk. Kadar denyutan jantungnya juga ditahap yang membimbangkan. Dia sering diserang demam panas. Saat itu, emosinya seringkali terganggu. Saraf matanya rosak. Propanolol dan Carbimazole adalah ubat yang dibekalkan pihak hospital, perlu diambil 3 kali sehari.
Rhea mengucap perlahan. Sesungguhnya, Tuhan sedang mengujinya. Dia perlu menguatkan dirinya untuk menghadapi saat-saat getir itu. Meski dia sendiri kurang pasti, apakah hala tuju hidupnya kehadapan kelak.
“Rhea, kau okay ke?” ucap Maria teman rapatnya pada suatu hari. Mereka bertemu di taman permainan seperti kebiasaannya. Maria adalah teman rapatnya, yang tinggal berhampiran rumahnya dan telah dikenali sejak dari kanak-kanak.
“Aku okay Mar. Aku tak ada apa-apa. Cuma aku sunyi. Aku nak bekerja macam kau juga. Aku nak teruskan kehidupan aku, Maria”  lirih Rhea perlahan. Ada nada sayu pada kata-kata Rhea. Maria sekadar memerhati temannya. Hatinya sebak, demi mendengar ucapan dari bibir temannya itu. Matanya leka memerhati keadaan fizikal Rhea yang nyata mengalami satu perubahan mendadak. Sayu hatinya.
Maria tahu, Rhea amat perlukannya. Sebagai sahabat, sebagai teman bicara dan juga tempat untuk Rhea mengadu nasib. Dia mencapai jemari Rhea dan digenggamnya, berharap agar kekuatannya menyusup masuk ke segenap urat sendi Rhea. Juga berharap temannya akan terus kuat dengan dugaan kehidupan. Rhea membalas genggaman jemari Maria bersama linangan air mata.
‘Tuhanku, berikanlah aku satu peluang supaya aku akan terus hidup di bumi ini sebagai insan yang tabah dan kuat’ doa Rhea dalam hati. Suasana di taman permainan itu semakin bingit dengan kehadiran kanak-kanak dan ibu bapa yang kebanyakannya datang untuk beriadah memandangkan hari tersebut ialah hari cuti umum.
Maria bangun. Rhea sekadar membuntuti. Mereka berjalan perlahan menuju ke parkiran kereta. Masing-masing membisu. Hanya sesekali mereka berbual. Rhea juga kurang pasti, mengapa hari itu Maria bersikap aneh. Dia lebih senang mendiamkan diri dan bercakap apabila ditanya. Tidak seperti kebiasaan, Maria sangat banyak bicaranya. Soalan yang tiada jawapan pasti.
                  

SEPERTI kebiasaan, setiap dua minggu sekali, Rhea akan ke hospital untuk temujanji dengan doktor. Hari itu, sekadar berseluar jeans ringkas dan berbaju kemeja serta bertudung, Rhea mengatur langkah ke pusat pendaftaran. Dari kejauhan, seorang lelaki sedang memerhatikan setiap langkah Rhea.
“Rhea!” laung lelaki itu. Rhea yang sedang mengatur langkah ke klinik IMC segera menoleh dari arah suara itu. Jelas Rhea terkejut sebaik memandang wajah lelaki itu.
“Hai Farhan!” laung Rhea. Nyata Rhea terkejut bertemu dengan Farhan. Farhan adalah teman lama yang pernah bersekolah sama dengannya. Penampilan Farhan dilihat agak berbeza, berseluar slack dan berkemeja serta mengenakan blazer.
Mereka berbual seketika sebelum Rhea meminta diri untuk ke klinik bagi temujanjinya berjumpa doktor.  Sebelum berpisah, Farhan mengeluarkan sekeping name card dan memberikannya kepada Rhea.
“Jangan lupa call aku!” pesan Farhan sebelum berlalu pergi. Rhea mengangguk sebelum matanya tertancap pada sekeping name card yang berada ditangannya.
Psikology Consultant?  Kerja apa ni?’ bisik Rhea sendirian, wajahnya berkerut seribu.
Dia segera menyimpan name card Farhan dan segera mengatur langkah ke klinik IMC untuk temujanjinya dengan doktor. Matanya mengerling jam ditangannya. Sudah pukul 11 pagi. Temujanjinya sepatutnya pada pukul 10.30 pagi. Rhea tahu, dia telah terlewat.  Kemudian, dia segera mengambil nombor dan memberi kad pesakit kepada jururawat yang bertugas.
Setelah menerima nombor giliran dari jururawat yang bertugas, Rhea segera mengatur langkah untuk duduk di kerusi menunggu yang telah disediakan.Seketika kemudian, dia terlanggar seorang lelaki hingga menyebabkan beberapa buku yang dipegang lelaki itu jatuh ke lantai.
“Maafkan saya, saya tak sengaja.” ucap Rhea tersekat-sekat. Dia segera membongkok dan mengambil beberapa buku yang jatuh di lantai. Sebuah buku bertajuk ‘Kesihatan Sempurna’ milik lelaki itu menyerupai dengan buku yang diberikan seseorang padanya.  Sewaktu dia dimasukkan ke wad pesakit, lebih kurang dua bulan yang lalu. Rhea menghulurkan buku tersebut pada lelaki itu.
“Terima kasih, minta maaf ya saya tak sengaja terlanggar awak,” ucap lelaki itu. Debaran didada terasa menggerunkan. Kenapa harus dia bersua muka dengan gadis ini? Sedangkan dia masih belum bersedia untuk menghadapinya.
“Saya yang sepatutnya minta maaf dengan awak, saya agak terburu-buru tadi.” jawab gadis itu. Benar. Seharusnya dia yang menghulurkan kata maaf. Bukan lelaki ini. Siapa lelaki ini? Dari cara berpakaian, kelihatan seperti kakitangan hospital. Tertera nama ‘Hafiz’ pada pakaian seragam lelaki itu.
Suara seorang jururawat memanggil namanya mematikan lamunan Rhea. Dia segera bangun dan berjalan menuju ke arah jururawat tersebut. Rhea berpaling. Lelaki tadi hilang dari pandangan. Rhea berjalan hampa.

BERITA yang diterima Rhea pagi itu mengejutkannya. Dia segera bersiap ringkas untuk ke rumah Maria. Air mata yang ditahan merembes juga. Hanya Tuhan yang tahu kesedihan yang Rhea hadapi. Maria temannya, telah pergi menghadap Ilahi kerana kemalangan jalan raya yang berlaku ketika Maria menuju ke tempat kerjanya, awal pagi itu.
Sesampainya Rhea dirumah Maria, kelihatan ibu Maria sedang menangis dan meraung, mungkin masih tidak dapat menerima kenyataan. Kenyataan yang pahit untuk ditelan oleh mana-mana ibu didunia. Beberapa orang dilihat sedang membaca Yassin untuk arwah Maria. Sekujur tubuh kaku dibaluti kain putih sedang terbaring diruang tamu rumah itu. Air mata yang mengalir semakin deras tatkala melihat tubuh kaku itu sekadar mampu terbaring.
Perlahan, Rhea duduk disisi jenazah dan memberi penghormatan terakhir untuk arwah Maria. Rhea mengucup dahi arwah Maria perlahan, menahan air matanya dari terkena pada wajah jenazah. Sebelum pulang, Rhea memberi sedekah bacaan Yassin untuk arwah Maria, berharap agar dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
‘Ya Allah, kau berilah aku kekuatan dalam menghadapi setiap ujian-Mu, Kau tempatkanlah rakanku, Maria Abd Rashid dikalangan orang-orang yang beriman.’ Doa Rhea tulus. Hanya air mata yang membasahi pipinya tatkala jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam An-Nur Taman Dahlia.
Bahu Rhea terasa dicuit seseorang. Rhea lantas menoleh, seorang kanak-kanak perempuan lingkungan umur 7 tahun sedang memandangnya sambil tangannya menghulur sesuatu. Rhea mencapai huluran tersebut. Huluran yang berupa sekeping surat. Tertera namanya pada surat tersebut. Jemarinya ligat mengoyak dan membaca isi surat tersebut.

Untuk temanku Rhea,
Kuatkanlah hatimu ketika mengetahui aku telah pergi. Pergi meninggalkanmu  sendirian. Tapi ingatlah Rhea, aku sentiasa ada dalam dirimu walau jasadku telah tiada. Aku tidak menduga, bahawa aku akan pergi dahulu meninggalkanmu, tapi ketentuan Tuhan tiada siapa yang akan persoalkan. Aku berharap agar kau akan menjadi insan yang kuat dan tabah dalam menghadapi penyakitmu.
Wahai sahabatku,
Jadilah insan yang sentiasa positif. Tuhan akan berikan kita sesuatu yang pahit sebelum kita merasai sesuatu yang manis. Ingatlah sahabatku, kau insan yang bertuah, Tuhan berikan kau dugaan kerana Tuhan sayang pada insan yang tabah dan kuat. Bangunlah dari kegagalan, bawalah aku bersama kau disetiap perjalanan yang kau lalui. Rhea, tunaikanlah impian yang pernah kita impikan bersama 10 tahun lalu..
Rhea, kaulah sahabatku dunia akhirat. Semoga kau akan mencapai kejayaan dan kebahagiaan dalam hidupmu.
Salam sayang,
Maria Abdul Rashid

Air mata Rhea mengalir perlahan. Rhea melipat surat yang ditinggalkan Maria untuknya sebelum Maria pergi meninggalkannya. Amanat Maria perlu dilaksanakan, untuk melihat Rhea bangun dari segala kegagalan dan mencapai kejayaan. Tidak ada siapa yang menduga, bahawa Maria akan pergi dahulu sebelumnya, sedangkan Rhea yang menderita penyakit tetapi ketentuan Tuhan tidak akan ada siapa yang mampu persoalkan.
‘Maria sahabatku, akan aku laksanakan segala impian yang kita pernah impikan suatu masa dahulu’ bisik Rhea perlahan. Ditatap gambar dirinya dan Maria yang diletakkan didalam frame dan di bingkaikan di suatu sudut kamarnya. Air mata Rhea mengalir lagi. Entah untuk kali yang keberapa, Rhea sendiri tidak tahu.

                                               
“RHEA, nanti kita dah besar, kita nak kerja apa?” tanya Maria pada suatu petang, hampir 10 tahun yang lalu. Suasana di taman permainan itu sunyi sepi. Hanya ada mereka berdua, memandangkan jam pada ketika itu pukul 10 pagi.
“Kita kan dah janji nak kerja sama-sama kan? Aku ikut kau lah Mar, kau cakap je nak kerja apa, aku ikut je.” jawab Rhea sambil ligat menghayun buaian. Maria disebelah hanya memerhatikan. Mungkin sedang memikir kerja apa yang ingin dilakukan pada masa akan datang.
“Hah! Kita buka perniagaan nak tak?” jerit Maria kuat.
“Kita buka perniagaan yang gunakan perkhidmatan kaunseling? Kau kan suka bercakap kan Rhea, aku pula pandai psiko orang” sambung Maria. Dari cara bercakap pun dah macam orang dewasa, sedangkan usia pada masa itu baru 12 tahun!
“Okay juga cadangan kau tu Mar!” jawab Rhea acuh tak acuh. Masih lagi menghayun buaian ,seakan tidak mempedulikan kata-kata  Maria itu. Kata-kata Maria bagai masuk telinga kiri keluar telinga kanan!

Rhea beristighfar panjang. Memori bersama Maria masih segar dalam ingatan. Waktu itu, Rhea seakan mentertawakan cadangan  Maria. Namun, setelah Maria pergi meninggalkannya, cadangan Maria itu seakan menagih untuk dilaksanakan. Namun, bagaimana harus bermula? Rhea tidak tahu.
Tiba-tiba, bayangan Farhan menggamit pandangan Rhea. Seakan memberi jawapan pada persoalan yang membelenggu fikiran Rhea. Serentak itu, pandangan mata Rhea bersinar!
                            

 “TIDAK ada sesiapa didunia ini, minta diberikan dugaan seumpama ini. Seperti apa yang telah berlaku dalam hidup saya. Dalam usia yang masih muda, saya telah menerima satu ujian yang besar dalam hidup saya, disahkan menghidap penyakit Hypertyroidism, yang agak luar biasa dari pesakit yang lain. Saya juga tidak dapat menyambung pelajaran, terpaksa diberhentikan kerja, putus kasih dengan orang yang paling saya sayang, hanya gara-gara penyakit ini. Tuan-tuan dan puan-puan, ujian saya tidak terhenti disitu, apabila teman baik saya telah pergi tinggalkan saya. Pada usianya yang sangat muda, dalam waktu saya amat perlukannya. Bayangkan tuan-tuan, puan-puan.” ucap gadis itu, sayu. Suasana sunyi menyelubungi majlis itu. Sebuah majlis motivasi yang tetamunya terdiri daripada beberapa pekerja dan ibu bapa. Gadis itu dijemput sebagai ikon remaja berjaya. Beberapa tetamu yang hadir kelihatan bersimpati dengan kisah yang disampaikan gadis itu.
“Sebelum teman baik saya pergi tinggalkan saya, amanah yang saya perlu laksanakan ialah, dia minta agar saya menjadi insan yang positif. Dia minta agar saya bangun dari kegagalan saya. Dia minta agar saya laksanakan cita-cita yang pernah kami impikan bersama. Ya Allah, kekuatan saya hanya satu ketika itu. Hanya dia. Maria Abd Rashid. Teman yang saya kenali 10 tahun yang lalu. Kerana dia, saya bangun dari posisi selesa saya. Saya pedulikan tentang penyakit saya. Hampir dua tahun saya bersusah payah, akhirnya saya berjaya. Alhamdulilah.” sambung gadis itu. Air mata yang ditahan-tahan mengalir jua. Lantas, jemarinya menyeka air mata yang mula membasahi wajah mulus gadis itu. Dari kejauhan, seakan-akan bayangan Maria muncul dan memberinya senyuman yang manis. Allahuakbar!
Selesai memberi ucapan sepatah dua kata, gadis itu kemudiannya keluar sebentar dari dewan seminar untuk mengambil angin. Dia sebenarnya masih lagi terasa kesedihan daripada ucapan yang baru disampaikan tadi. Bayangan Maria yang seakan tersenyum padanya membuatkan jiwanya tersentuh. Mungkin Maria cuba untuk mengucapkan kata terima kasih padanya. 
‘Kalau kau ada disini dengan aku kan bagus, Mar.’ luah Rhea perlahan. Masih terasa kehilangan sahabat baiknya, Maria.
Dua tahun lalu, ketika Rhea menghubungi Farhan, kebetulan Farhan juga mempunyai cadangan untuk membuka perniagaan berunsurkan perkhidmatan kaunselor. Oleh yang demikian, Farhan menawarkan diri untuk menjadi rakan kongsi bersama dengan Rhea.
Tahun pertama pembukaan Marhean Counselor Sdn Bhd, nyata syarikat bumiputera itu mendapat sambutan yang memberangsangkan. Seterusnya, syarikat yang bertapak di Johor Bahru itu membuka cawangan di Kuala Lumpur. Farhan sebagai rakan kongsi ditugaskan untuk menyelia dan memantau cawangan di Kuala Lumpur. Nyata cawangan di Kuala Lumpur juga mendapat hasil yang sangat positif.
Rhea bersyukur. Bersyukur kerana diberikan peluang oleh Tuhan untuk mencapai kejayaan. Setahun selepas kejayaan Marhean Counselor Sdn Bhd, Rhea mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan Hypertyroidism, dan pembedahan yang dilakukan disebuah hospital swasta dan memerlukan kos hampir 10 ribu itu ternyata berjaya. Syukur ke hadrat Ilahi.
Tidak ada sesiapa didunia ini menginginkan kegagalan dalam hidup. Rhea akur. Akur dengan segala ketentuan yang diberikan Tuhan padanya. Pemergian Maria, seakan menoktahkan segala kekuatan yang ada dalam dirinya. Namun, disebalik pemergian Maria, sebuah hikmah yang sangat indah terlindung dibaliknya. Bagaimana insan yang sangat lemah seperti Rhea boleh menjadi seseorang yang berjaya hanya kerana merubah pemikiran menjadi positif?
Jauh disudut hati Rhea, dia bersyukur kerana telah berjaya membuktikan pada Maria yang dia telah melaksanakan amanah Maria.
 ‘Kalaulah kau ada Mar..’ sekali lagi Rhea mengharap.
                                     

SEBUAH kereta BMW 320i berwarna metalik putih menyusur laju di jalanraya. Bernombor pendaftaran JB 796, kereta tersebut kemudiannya berhenti dan diparkirkan disebuah pasaraya besar Jusco di Tebrau Johor. Kemudian, keluar seorang gadis berseluar jeans, memakai t-shirt putih ringkas namun masih lagi sopan dan berselendang berwarna merah. Dimatanya dikenakan sebuah cermin mata hitam bergaya. Gadis itu menyandang sebuah beg tangan berjenama Guess dan berkasut tumit tinggi. Dia kemudiannya berjalan menuju ke pasaraya Jusco tersebut.
Gadis itu kemudian melangkah masuk ke pasaraya berkenaan sambil membuka cermin mata hitamnya. Langkahnya diteruskan ke sebuah butik berjenama G2000 dan melihat beberapa pasang baju dan blazer sebelum mengambil beberapa helai baju dan dibawa ke fitting room.
Setelah berpuas hati dengan beberapa pasang baju di butik tersebut, Rhea segera ke kaunter pembayaran. Dia mengambil kad kredit yang berada dalam dompetnya sebelum menyerahkan kepada salesman yang berada di kaunter tersebut. Diamati wajah salesman tersebut, bagai pernah dikenalinya.
“Amer?” laung Rhea. Memastikan lelaki yang berada dihadapannya itu benar-benar Amer. Jelas Amer juga terkejut.
“Rhea ke ni?” ucap Amer perlahan. Benarkah ini Rhea? Kenapa perwatakan dan penampilannya berbeza?
“Ya, aku ni Rhea. Kenapa? Tak percaya?”  ada nada ego pada suara Rhea. Ya, aku ni Amer. Tak percaya? Kenapa? Kau fikir perempuan macam aku ni tak boleh berjaya? Kau fikir perempuan berpenyakit macam aku ni tak akan berjaya? Kau silap Amer!
“Rhea, aku tak sangka..kau.. sekarang..dah berubah..” jawab Amer tersekat-sekat. Jelas sekali Amer tidak percaya. Gadis dihadapannya suatu masa dahulu sangat berbeza. Sewaktu dia mengetahui Rhea menghidap penyakit, dia mengambil keputusan untuk berpisah. Baginya untuk apa meneruskan hubungan dengan orang yang berpenyakit? Ibunya juga sering memaksanya untuk memutuskan hubungan dengan Rhea setelah mengetahui gadis itu menghidap penyakit.
Tapi kini Rhea kelihatan berbeza. Gadis dihadapannya kelihatan lebih bergaya dan kelihatan lebih sihat. Rhea juga kelihatan manis berselendang. Jiwa lelaki Amer nyata tergugat melihat gadis yang pernah dicintainya jauh lebih cantik dan bergaya. Rhea juga kelihatan mewah, dari gaya pemakaiannya juga sudah kelihatan apatah lagi Rhea membayar pakaian yang dibeli di butik tempat Amer bekerja dengan menggunakan kad kredit!
Setelah kesemua pakaian yang dibeli Rhea sudah dimasukkan ke dalam beg, Rhea memandang Amer sekilas sebelum dia menghulurkan name card nya kepada Amer. Dia kemudiannya mengatur langkah untuk segera pulang. Perjumpaannya dengan Amer nyata tidak mengusik jiwanya kembali untuk mengingati kisahnya bersama Amer. Baginya, kisah cintanya bersama Amer hanyalah tinggal kenangan.
Dari kejauhan, lelaki itu mengekori langkah Rhea. Matanya membulat tatkala melihat kereta yang dipandu Rhea meninggalkan parkiran pasaraya Jusco itu. BMW? Huh! Name card yang berada di tangan ditatap.
 ‘CEO Marhean Counselor Sdn Bhd.? Biar betul?’ Amer seakan tidak percaya!


NOVEL bertajuk ‘MARIA, sahabat terindah’ semakin laris di pasaran. Syarikat Marhean Counselor selaku syarikat yang menghasilkan pencetakan buku tersebut semakin mendapat nama di pasaran tempatan. Rhea tersenyum. Segala penat lelahnya selama ini terbayar apabila novel tersebut laris dipasaran. Syarikat Marhean Counselor juga masih menjalankan perkhidmatan kaunseling seperti sebelumnya.
Novel yang mengisahkan perjalanan hidup seorang sahabat kepada insan bernama Maria. Hanya seorang gadis yang bernama Rhea sahaja yang memahami dan mengetahui isi hati dan perasaan sahabat Maria. Rhea menghasilkan novel tersebut sebagai tanda mengucapkan terima kasih dan menghargai jasa Maria yang telah menjadikannya insan yang berjaya pada hari ini, walaupun Maria telah tiada.
Hampir 5 tahun sudah Maria meninggalkannya. Rhea tahu, jika Maria masih hidup, pasti hari itu adalah hari yang paling bersejarah buat mereka kerana hari itu, Rhea akan menamatkan zaman bujangnya. Bukan Amer yang menjadi pilihannya, tapi seorang jejaka yang telah sekian lama meminati Rhea yang berjaya membuka pintu hati Rhea untuk memilihnya. Seorang doktor yang bernama Hafiz telah berjaya merobohkan tembok cinta yang sebelum ini tertutup rapat setelah dikecewakan Amer. Doktor yang memberikannya sebuah buku hampir 2 tahun lalu. Masih setia kasih lelaki itu untuknya.
Amer? Lelaki itu masih menunggu Rhea. Tunggulah, sampai kapan pun. Rhea tidak akan berpaling. Hatinya yang kudus hanya untuk Hafiz. Amer, jadilah insan yang positif. Setiap yang berlaku pasti akan ada hikmahnya. Setiap yang kita lakukan, pasti akan ada balasannya. Seperti yang pernah kau lakukan pada aku, meninggalkan aku disaat aku sedang dilanda ujian Maha besar. Adilkah untukku?
Maria. Terima kasih. Sahabat yang menjadikan aku insan yang sentiasa positif.
Tangisan anak kecil itu mengejutkan lamunan Rhea. Ditatap wajah anak kecil itu. Dia bersyukur. Hidupnya penuh kebahagiaan. Bersama suami yang mencintainya setulus hati serta kelahiran anak yang didambakan setiap pasangan. Anak kecil yang diberi nama Nur Marhea Bt Mohd Hafiz, bagaikan wujud bayangan Maria pada anak kecil itu. Anak yang telah melengkapkan kehidupannya. Syukur ke hadrat Ilahi. Rhea memanjat kesyukuran.

Cetusan Jemari,
Na Rieana

P/s: Cerpen ini telah memenangi tempat Saguhati dalam Pertandingan Menulis Cerpen Anjuran Karangkraf dengan tema ‘Saya Hidup Positif, Anda Bila Lagi........’ dan dibukukan oleh pihak Karangkraf.




2 comments:

inni akhafullah said...

wahh..hebatnya saudari ni..penggunaan kata-kata yang mantap,ringkas tapi padat.memang layak untuk memenangi pertandingan.terasa diri say ni kerdil sangat untuk melabelkan cerita yang saya karang sebagai cerpen.allahu.saudari tak bercadang untuk buat novel?nampak macam besar peluang di situ kalau dikembangkan bakat yang sedia ada.=)

Unknown said...

inni akhafullah,

terima kasih saudari sudi membaca cebisan cerpen yang tak seberapa ini.. saya sebenarnya dalam proses jua untuk bertatih menulis novel cuma mungkin ilmu yang tak cukup banyak ini selalu mematikan hati dan impian saya.. tapi saya akan terus berjuang dalam merealisasikan impian saya itu.. terima kasih..
semoga kita sama-sama berjaya dalam impian kita.. inshaallah..