leopard iklan

Friday 28 June 2013

Kerana Ego





Riana menyeka air matanya perlahan-lahan. Teringat saat lelaki yang dicintainya beralih hati. Sedangkan dia memberi hati yang tak pernah pudar kasih sehingga 5 tahun hubungan mereka. Ah, lelaki!
          Kenangan dia dikhianati masih segar dalam ingatan Riana. Bagaimana Azree boleh melukai hati kecilnya dan pergi meninggalkannya sendiri, hanya kerana perempuan itu.
          Sudahlah Riana, lupakanlah kenangan itu. Tekad Riana cuma satu, lupakan semua tentang Azree. Buang dia jauh-jauh dari sudut hati ini. Bangun dari kelukaan yang hanya akan menjatuhkan diri sendiri.
          Tapi, mampukah dia?


RIANA asyik melayani facebook. Dia membuka profile Azree sebelum matanya tertancap pada sebaris ayat yang dihulur lelaki itu kepada seorang perempuan.
         
          ‘I love you, Ms Baby. I sayangkan you…’

Darah Riana terasa tersirap dengan kata-kata itu. Untuk apa Azree menulis ayat sedemikian rupa dan siapa Ms Baby? Riana pantas menghubungi kekasih hatinya, meminta penjelasan atas apa yang baru dia baca tadi.
          Panggilan bersambung. Tidak dapat untuk Riana menanti dan bersabar dengan kata-kata kiasan.
          “Siapa Ms Baby? Sejak bila kau bercinta dengan dia? Cakap dengan aku!” hilang sudah panggilan manja antara mereka.
          Azree diam.
          “Cakaplah! Apasal kau diam?”
          “Dia girlfriend aku. Puas hati kau? Sudahlah, kau jangan ganggu hidup aku lagi…” Azree memberi amaran
          Klik! Talian terputus.
          Telefon bimbit dipegang Riana jatuh ke lantai. Seperti hatinya yang sakit dengan apa yang telah terjadi. Semudah itu kasih dan sayang aku dikhianati? Ya Tuhan, aku mohon kekuatan menghadapi semua ini. Saat itu kolam air matanya tumpah tiada hentinya.
          Hubungan yang terjalin selama hampir 5 tahun kini sampai ke penghujungnya. Tidak mungkin dapat diselamatkan lagi.
         


RIANA kembali lagi di sini. Deruan ombak pantai memberinya ketenangan yang mendamaikan. Gadis itu mengharapkan ada sinar cahaya cinta dalam dirinya supaya dia boleh melupakan semua yang pernah menganggu jiwanya, hampir sebulan lalu. Kalau bukan kerana ego, pasti dia tidak merasa sebegini sesal.
          Gadis itu bangun. Kakinya menari-nari di pasiran pantai yang halus. Deruan ombak juga mengasyikkan. Rambutnya terbang bebas mengikut alunan angin pantai yang tiada hentinya. Sejuk angin di pesisir pantai mencengkam tubuh gadis manis yang cantik berbaju kurung itu.
          Sering kali dia ke sini. Mungkin hatinya akan tenang, jiwanya akan hilang resah. Mengingatkan semua kenangan saat hatinya jatuh pada seseorang lelaki yang pernah menyelamatkannya. Memberinya peluang untuk bernafas kali kedua sebagai takdir cintanya tertulis disini.
          Setelah Riana dikhianati, lelaki itu kembali untuk menagih kasih yang telah dia nodai. Sedar tentang silap dan kebodohan yang meracuni akal hingga tidak tahu memilih yang mana cinta dan yang mana dusta.
          Namun, tidak semudah itu bagi insan yang bernama Riana. Jauh mana Azree cuba mencungkil isi hatinya, semua itu takkan ada maknanya lagi kerana hati ini sudah tertutup rapat untuk cinta Azree.
         

“ANTARA kita, dah tak ada apa-apa! Faham tak? Kenapa kau sibuk lagi dengan aku?” herdik Riana. Rimas dengan kelakuan lelaki yang tak tahu malu. Hubungan sudah putus, nak apa lagi?
          “Nana, please! Aku nak cakap sesuatu dengan kau…” jerit lelaki itu tanpa kenal erti putus asa. “Berikan aku satu lagi peluang, please?”
          “Peluang apa? Kau cakap dengan aku, apa kau nak?” Riana terhenti melangkah. Dia berpaling memandang wajah Azree.
          “Peluang untuk aku bersama dengan kau semula, boleh?” rayu lelaki itu. Riana meluat. Lelaki macam ni lah, kalau hendak merayu-rayu. Kalau tak nak, buang macam sampah!
          Sorry sangat, sekarang aku dah ada boyfriend. Kau pergilah cari perempuan lain. Hubungan kita dah putus dan tak akan bersambung balik. Kau faham kan?” jerit Riana, memberi peringatan yang entah kali ke berapa.
          Langkah Azree terhenti. Dah ada boyfriend? Semudah itu?
          Saat itu Azree sudah hilang dari pandangan mata Riana. Buku-buku ditangannya dikemaskan dan diselitkan di celah beg sandangnya. Riana masuk ke rumah sewanya dan berbaring lesu di katilnya. Memikir-mikir lelaki itu sudah pulang atau belum. Juga memikir-mikir adakah tindakannya betul atau salah.


RIANA duduk di pesisiran pantai. Dia menggenggam pasir pantai yang halus, ibarat dia menggenggam kasih dan cinta lelaki itu. Genggaman berisi pasir itu luruh sedikit demi sedikit. Adakah cintanya seperti pasir ini?
          Tidak, kasih dan cintanya terhadap lelaki itu tidak pernah pudar. Cuma, kerana ego dan turutkan kata hati teman-teman, dia tewas dalam perasaan sendiri. Membiarkan jari-jemari mereka mengatur kehidupan yang kini setiap hari disesalinya. Mengertikah mereka dengan tangisan hati ini?
          Pasti tidak, kerana cinta aku dan mereka tidak sama.



PATUNG comel pemberian Azree di pegangnya. Hatinya serba-salah. Mahu dipulangkan atau tidak? Patung ini dihadiahkan Azree saat dia dan lelaki itu ke kedai cenderahati hampir 3 tahun lalu. Azree memberinya kejutan dengan meletakkan patung comel itu didalam bakul motor. Ah, romantisnya.
          “Kau pegang patung tu buat apa? Nak bagi dia peluang kedua? Janganlah jadi bodoh, Nana. Kalau aku dah lama aku buang, tak pun aku bakar patung tu. Puas hati aku!” seorang teman Riana memberi cadangan.
          “Entah. Kau tak payahlah ingat dia lagi. Kerja pun main-main, sampai bila? Ramai lagi lelaki lain yang boleh buat kau bahagia. Tapi bukan si Azree tu. Aku tengok dia tu dari dulu sampai sekarang sama aje. Tak ada perubahan langsung...” Seorang lagi teman Riana menambah perisa cerita.
          “Sudahlah Na, lupakan dia. Esok lusa dia bukan ingat lagi dah dengan kau… kan ke dia dah ada girlfriend baru. Mesti dia dah lupakan kau punya…” seorang lagi teman Riana memberinya peringatan.
          Riana lantas memasukkan patung comel itu ke dalam plastik dan di simpan didalam kotak. Semua teman-temannya menyokong tindakannya.
          Aku yang bodoh atau tidak tahu berfikir? Saat itu, keputusannya sangat tepat. Membuang lelaki itu jauh-jauh dari hidupnya setelah 5 tahun menjalin hubungan.
          Tiada peluang kedua dan seumpamanya!


RIANA menekup mukanya. Terasa sesal dengan kebodohan akal yang terlewat untuk mencerna kata-kata dan tindakan yang pernah dia lakukan. Kerana ego dan ikutkan kata hati teman-temannya, dia membuang lelaki itu jauh dari hidupnya.
          Sehingga setahun mereka dipisah hati dan perasaan, lelaki itu kembali untuk mengucapkan kata tahniah atas kejayaannya menamatkan pengajian. Juga mengharap agar Riana memberi peluang kedua yang dituntutnya sejak lelaki itu sedar tentang kesilapan yang dilakukannya.
          Namun, kerana ego juga lah dia kehilangan lelaki itu terus dari hidupnya….

“TAHNIAH, hari ni Nana cantik…” ucap Azree, ikhlas.
          “Terima kasih.” Jawab Riana sekilas. Mengutuk barangkali, muka tak sempat make-up dibilangnya cantik. Perli!
          “Nana, maafkan aku. Boleh?” kata-kata lelaki itu mematikan langkah Riana. Maaf? Terlalu mudah! Tidak mungkin.
          “Terlalu mudah untuk kata maaf setelah diri aku kau khianati? Kau masih ada otak dan fikirlah dengan waras…” Riana menghayun langkah. Teringat kata-kata teman, jangan dilayan lelaki ini.  Dia berjalan menyeberangi jalan, tanpa menghirau kiri dan kanan.
          “Nana!  baik-baik…” terasa ada tubuh yang menolak Riana ketepi dan kemudian bunyi dentuman kuat sebelum pandangan Riana hilang dibalik hujanan manusia yang mengerumuni tubuh Azree yang terbaring kaku di atas jalan raya.
          Terasa sesal yang takkan mungkin dapat diundur lagi setelah lelaki itu menjadi penyelamat kepada dirinya untuk kali yang kedua.
          “Azree…” lirih Riana, namun tiada sahutan.

RIANA bangun, menuju ke kereta. Dia memandu pulang ke rumahnya setelah seharian melewati hari disini. Air mata yang membasahi pipinya diseka perlahan. Alunan lagu Alyah ‘Kisah Hati’ mengganggu hati kecilnya. Terasa bersalah dengan apa yang telah terjadi kepada Azree.
          Benarlah, kita akan merasai cinta seseorang itu saat kita sudah kehilangannya. Andai masa boleh diputar kembali, dia ingin memberi peluang kedua kepada Azree. Namun, kerana ego dia berhadapan dengan semua ini.
          Riana melayani akal fikirannya yang melayang entah kemana sambil menghadam bait-bait kata lagu tersebut.
         
          Cinta kau dan aku,
Tak kan mungkin bersatu,
          Untuk saat ini,
Di dunia ini…
          Mungkin kita bersama,
          Nanti diatas sana,
Biar ku setia menjaga cintamu…
          Selamanya…
         
Khayalan Riana nyata silap pada masanya. Pemanduannya gagal di kawal dan sebuah lori trailer juga tidak dapat mengelak keretanya.  Dia bertembung dengan lori trailer hingga tubuhnya tercampak keluar ke jalan raya.
          Darah memercik ke sekitar wajahnya. Saat itu, malaikat maut menghampirinya dan hanya bayangan wajah Azree yang wujud tidak jauh dari sisinya dan menguntum senyum manis sambil menghulurkan tangannya. Air mata Riana tumpah berjujuran saat terpandang wajah yang amat dirinduinya. Saat huluran bersambut, pandangan Riana gelap gelita.
          Percayalah, cinta sejati itu hadir sekali dalam hidup ini. Hargailah dia sebelum dia pergi meninggalkan kita untuk selamanya… ungkapkanlah cinta padanya walau dalam apa jua cara sekalipun. Berikanlah peluang kedua sebelum kita terlambat untuk selama-lamanya.
          Riana… Azree… bersemadilah kalian dengan tenang disana. Semoga tiada lagi kasih yang perlu dikorbankan hanya untuk menuntut peluang kedua. Juga, buanglah ego jauh-jauh saat cinta mula wujud dihati.
          Percaya pada kata hati sebelum semuanya terlambat dan tak akan boleh diundur lagi…


Cetusan Jemari :
Na Rieana
 

P/S : Cerpen ini pernah menghiasi ruangan Cerpen Pilihan dalam Majalah REMAJA Edisi muka Stacy tahun 2011 (Tak Ingat Edisi ke berapa)
 

No comments: